16 August 2019

Migrain Serta Penyebabnya!

Migrain bukanlah penyakit yang mengancam nyawa tetapi cukup untuk membuatkan aktiviti seharian terganggu. Satu dari tujuh orang mengalami sakit kepala akibat migrain setiap hari.

Menurut Pengarah Jabatan Neurologi, Fortis Hospital, Shalimar Bagh di India, DrJaideep Bansal, migrain adalah penyebab umum kedua dari sakit kepala, yang dialami 15 peratus wanita dan enam peratus lelaki.

Memetik Indian Express, sakit kepala akibat migrain biasanya bersifat episodik. Sakit dirasakan hanya di bahagian tertentu kepala, berdenyut dan menyebabkan rasa mual dan muntah.

Berbeza dengan migrain, sakit kepala biasanya berlaku kerana stres dan rasa tak selesa di kedua-dua belah kepala selain tidak disertai rasa mual, muntah, atau tidak sensitif terhadap cahaya dan suara.

Sejarah keluarga menjadi faktor risiko paling kuat dan konsisten untuk migrain, peluangnya meningkat dua hingga tiga kali ganda dalam kalangan saudara mara yang mempunyai migrain. Manakala sejarah sakit kepala keluarga tidak mempunyai sebarang perkaitan.

Bagi sebahagian pesakit, migrain tercetus akibat beberapa punca spesifik, sedangkan sakit kepala biasa tidak! Selain itu, migrain memerlukan rawatan dan pengurusan khusus sedangkan sakit kepala biasa dapat dikendalikan dengan mengubah gaya hidup dan beberapa ubat penghilang rasa sakit.

Berikut adalah beberapa punca migrain.

- Perubahan hormon terhadap wanita. Fluktuasi estrogen, seperti sebelum atau sepanjang haid, kehamilan dan menopaus nampaknya menyebabkan sakit kepala kepada kebanyakan wanita.

- Ubat hormon seperti kontrasepsi oral.

- Minuman beralkohol, terutama wine dan pengambilan terlalu banyak kopi.

- Stres di tempat kerja atau di rumah.

- Stimulasi sensor, misalnya lampu terang dan sinar matahari, bunyi nyaring, bau yang kuat seperti minyak wangi, cat.

- Perubahan/tidak cukup tidur, jet lag.

- Faktor fizikal, seperti aktiviti fizikal yang menyebabkan ketegangan.

- Perubahan cuaca/tekanan.

- Ubat-ubatan seperti kontrasepsi oral dan vasodilator, seperti nitrogliserin.

- Makanan, contohnya keju, coklat dan kopi.

- Pemanis dan pengawet makanan.

Baca Lagi...

15 August 2019

Apakah Punca Tekanan Darah Tinggi?

Jantung adalah otot yang mengepam darah ke seluruh badan. Darah yang mempunyai tahap oksigen yang rendah dipam ke arah paru-paru di mana bekalan oksigen diisi semula. 

Darah yang kaya oksigen kemudiannya dipam oleh jantung ke seluruh badan untuk membekalkan otot dan sel. Mengepam darah akan menghasilkan tekanan. 

Sekiranya seseorang mempunyai tekanan darah tinggi, bermakna dinding arteri menerima terlalu banyak tekanan secara berterusan. Penyebab hipertensi sering tidak diketahui.

Antaranya Punca Tekanan Darah Tinggi

Penyempitan Arteri: Penambahan usia menyebabkan tekanan darah meningkat kerana arteri menjadi lebih keras dan sempit terutamanya di jantung, otak dan buah pinggang.

Penyakit buah pinggang kronik atau ‘Chronic Kidney Disease’ (CKD) adalah penyebab utama tekanan darah tinggi kerana buah pinggang tidak menapis cecair dan lebihan cecair ini akan membawa kepada tekanan darah tinggi.

Keadaan kesihatan yang sedia ada iaitu penyakit kardiovaskular, penyakit kencing manis, penyakit ginjal kronik, dan paras kolestral tinggi boleh menyebabkan hipertensi terutamanya apabila usia semakin tua.

Risiko adalah sama bagi lelaki mahupun perempuan. Tetapi lelaki lebih mudah menderita hipertensi pada usia yang lebih muda. Namun, kecenderung lebih tinggi kepada wanita yang lebih berusia.

Tip Menurunkan Tekanan Darah Tinggi

Baca Lagi...

14 August 2019

Ketahui Punca Sembelit

Tabiat membuang air besar adalah berbeza bagi setiap individu. Ada yang membuang air besar dua kali sehari dan ada juga membuang air besar setiap tiga hari. 
Ini kerana aktiviti membuang air besar bagi setiap individu adalah berlainan bergantung kepada beberapa faktor.
Pemakanan: Pengambilan makanan kurang serat (contoh makanan berserat tinggi adalah buah-buahan dan sayur-sayuran) akan menyebabkan najis berketul dan keras.
Minuman: Tekstur najis yang normal akan terbentuk apabila seseorang mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari.
Gaya hidup sihat: Aktiviti sukan akan meningkatkan aktiviti usus dan memudahkan proses membuang air besar.


Adakah sembelit itu normal?
Tidak semua sembelit disebabkan faktor yang dinyatakan di atas. Sembelit dianggap tidak normal jika seseorang individu mengalami tanda-tanda berikut:
Najis berdarah: Darah dalam najis bersama sembelit adalah tanda kanser usus, polip, diverticulum (poket di usus besar), ‘anal fissure’ (luka di dubur) atau buasir.
Pengambilan ubat untuk membantu membuang air besar oleh pesakit sembelit adalah fiber dan minuman ‘detox’. Pengambilan suplemen ini secara berkala boleh menyebabkan usus menjadi malas. Beberapa jenis minuman detox mempunyai kesan sampingan menyebabkan kekurangan garam dalam darah seterusnya membahayakan kesihatan.
Turun berat badan: Ini adalah tanda-tanda awal kanser usus.
Kenaikan berat badan: Kekurangan hormon kelenjar tiroid boleh menyebabkan pergerakan usus menjadi lambat. Terpaksa menggunakan jari atau memasukkan air ke dubur untuk membantu membuang air besar. Ini adalah tidak normal dan boleh menyebabkan ‘ulser’ (luka) di dalam usus besar. Ia juga satu daripada ciri ‘obstructive defecating syndrome’.
Meluangkan masa yang lama untuk membuang air besar hinggakan boleh membaca majalah, surat khabar atau laman sosial. Ini menunjukkan aktiviti dubur untuk membuang air besar tidak normal dikenali sebagai ‘pelvic floor dysynergia’.
Ada biji/ kulit yang keluar dari pangkal dubur semasa membuang air besar. Tidak semua biji atau kulit itu adalah buasir kerana kanser pangkal dubur juga boleh bersifat sedemikian. Selain itu ‘rectal prolapse’ (usus besar terkeluar dari pangkal dubur) juga boleh menyebabkan sembelit.
Pertukaran tabiat membuang air besar adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. Jika tabiat membuang air besar selalunya setiap dua hari dan sekarang berubah kepada empat hari sekali atau sekali seminggu dan keadaan itu berterusan selama beberapa minggu, anda perlu mendapatkan nasihat doktor. Pengambilan ubat atau makanan tambahan (suplemen) untuk menyelesaikan masalah sembelit tanpa nasihat doktor adalah memudaratkan.
Pemeriksaan awal akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sembelit. Ini dapat dikenal pasti melalui sejarah penyakit dan pemeriksaan fizikal pesakit.
Beberapa jenis ujian darah akan dijalankan untuk mengenal pasti punca sembelit. Sesetengah pesakit akan dinasihatkan untuk menjalani prosedur kolonoskopi (memasukkan kamera ke dalam usus besar melalui dubur).
Prosedur ‘anal manometry’ (tekanan anus) untuk melihat ‘pressure’ di dalam dubur dan ‘defecating proctogram’ (x-ray aktiviti membuang air besar) akan disarankan jika pesakit menunjukkan tanda-tanda kelemahan otot pelvis atau ‘obstructive defecating syndrome’.

Baca Lagi...

01 August 2019

Punca Berlakunya Kencing Manis

KENCING manis atau nama saintifiknya diabetes adalah pembunuh dalam senyap. Penyakit ini merupakan antara penyakit pembunuh utama di Malaysia selain kanser dan sakit jantung.

Ia berlaku apabila metabolisme tubuh terganggu sehingga mengakibatkan glukosa di dalam badan tidak dapat dimanfaatkan sebagai tenaga secara maksimum.

Apakah punca berlakunya kencing manis?

Menurut sumber rasmi Kementerian Kesihatan, faktor-faktor risiko kencing manis atau diabetes adalah seperti berikut:

1) Berlebihan berat badan atau kegemukan.

2) Tidak bersenam dan gaya hidup tidak aktif.

3) Pemakanan - pengambilan makanan tinggi lemak dan kurang serat.

4) Keturunan - diabetes mempunyai perkaitan yang kuat dalam keluarga.

5) Peningkatan umur.

6) Bangsa – kaum India mempunyai lebih risiko mendapat diabetes.

Seorang pesakit membuat ujian darah dan suntikan insulin sendiri.
Bagaimana pula dengan tanda-tanda kencing manis?

1) Kerap dahaga dan kerap kencing pada waktu malam

Tanda kencing manis yang paling biasa ialah selalu rasa haus. Apabila waktu malam pula, selalu ke tandas untuk kencing.

Lebihan glukosa dalam saluran darah membuatkan buah pinggang bekerja lebih keras untuk memprosesnya. Ini menyebabkan seseorang menjadi kerap membuang air kecil pada waktu malam.

Apabila air banyak hilang anda akan menjadi lebih dahaga. Itulah antara petanda badan anda sedang cuba menggantikan air yang telah hilang.

2) Berat badan menyusut dengan drastik

Anda kena hati-hati apabila berat badan menurun tiba-tiba walaupun kuantiti makanan yang diambil adalah sama setiap hari. Inilah antara tanda kencing manis.

Bagi sesetengah orang, kehilangan berat badan secara drastik dalam masa yang singkat mungkin menggembirakan mereka.

Tetapi awas kerana ia mungkin salah satu tanda anda menghidap kencing manis kerana disebabkan oleh kegagalan badan untuk memproses glukosa sebagai tenaga yang menyebabkan ia mula memecahkan otot dan lemak untuk menghasilkan tenaga.

3) Jarak penglihatan menurun

Antara tanda kencing manis yang orang selalu abaikan ialah tidak dapat melihat dengan jelas.

Kandungan gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan perubahan pada bentuk kanta dan mata yang seterusnya mengakibatkan seseorang mengalami kabur penglihatan. Seseorang itu mungkin juga akan buta sekiranya ianya dibiarkan untuk tempoh yang panjang.

4) Sering kebas pada tangan dan kaki

Ia berlaku disebabkan oleh kerosakan pada sistem saraf atau pembuluh darah yang menyebabkan seseorang mengalami kesemutan, kebas atau bengkak pada tangan dan kaki.

Ini kerana darah tidak lagi sampai pada hujung saraf anggota badan.

5) Luka yang lambat sembuh.

Ini tanda kencing manis yang paling menakutkan. Selalu orang kata, sampai boleh kena “Potong kaki!”.

Sistem saluran darah yang rosak kerana gula berlebihan juga turut memberikan kesan kepada penyembuhan luka kerana darah tidak dapat disampaikan kepada anggota-anggota badan. Pesakit juga mungkin tidak akan rasa sakit pada bahagian yang luka.

Paling menakutkan apabila luka-luka ini menjadi semakin teruk dan membusuk dimana hanya dengan memotong anggota badan tersebut merupakan jalan untuk menyembuhkannya.

Kesimpulannya, kurangkan makanan dan minuman bergula termasuk amalkan gaya hidup sihat melalui senaman dan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Sayangi diri anda dan keluarga!


Baca Lagi...