SEBARANG diet yang menjanjikan penurunan berat badan dengan pantas tanpa asas saintifik dipanggil fad diet atau diet sementara.
Diet sementara adalah tidak lengkap dan tidak membekalkan banyak nutrien penting yang diperlukan oleh tubuh kita. Kesannya juga adalah singkat dan sukar dikekalkan kerana kebanyakan berat badan yang hilang adalah air. Kekurangan nutrien juga biasa terjadi dalam kalangan mereka yang mengamalkan fad diet.
Memandangkan rakyat Malaysia begitu teruja dengan proses penurunan berat badan secara cepat ramai yang mengambil jalan mudah dengan mencuba pelbagai produk di pasaran seperti pil, minuman suplemen dan produk herba.
Jangan terlalu ghairah untuk mendapat berat badan ideal sehinggakan lupa kesan negatif yang akan ditanggung nanti. Sepatutnya selidik dan dapatkan nasihat pakar berkenaan bagi memastikan produk tersebut berkesan dan selamat digunakan sebelum membelinya.
Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, ubat khas boleh diberi kepada pesakit yang mempunyai kesukaran menurunkan berat badan. Ubat-ubat ini membantu melengkapi keseluruhan program penurunan berat badan dan bukan jalan penyelesaian sebenar.
Dalam memastikan cara hidup sihat, prinsip asas penurunan berat badan yang berkesan adalah dengan mengawal pengambilan kalori. Namun ia tidak bermakna anda terus tidak makan atau mengikuti diet yang sangat rendah kandungan kalori.
Tubuh kita masih memerlukan tenaga dan nutrien untuk berfungsi dengan baik. Oleh itu, diet yang seimbang dan sihat adalah penting untuk memudahkan penurunan berat badan dengan konsisten dan berkekalan. Penurunan berat badan dengan selamat adalah melalui makan secara sihat iaitu dengan merancang menu harian untuk membantu mengawasi hidangan.
Pemilihan makanan berkhasiat ketika memasak perlu dititikberatkan di mana kawalan kalori yang tidak perlu seperti minuman manis.
Bagi yang ingin betul-betul mendapat berat ideal boleh amalkan diet seimbang, sederhana dan pelbagai mengikut panduan piramid makanan Malaysia. Sebolehnya kawal dan rancang saiz sajian berdasarkan keperluan. Bagi segelintir individu, menggantikan snek yang tidak berkhasiat dengan buah-buahan adalah amalan baik, tetapi bukan penyelesaian menurunkan berat badan. Buah mengandungi pelbagai nutrien dan fitonutrien yang memberi pelbagai manfaat kesihatan.
Oleh itu, untuk menurunkan berat badan anda perlu mengurangkan pengambilan kalori daripada makanan lain sepanjang hari. Malah aktiviti fizikal juga perlu ditingkatkan untuk membakar lemak berlebihan yang tersimpan dalam tubuh.
Ada juga yang berpendapat walaupun mengurangkan pengambilan kalori dengan mengurangkan saiz sajian, tetapi masih belum mencapai berat badan ideal. Jika keadaan ini berlaku teruskan dengan usaha tersebut tanpa putus asa.
Dalam hal ini proses penurunan berat badan menjadi perlahan atau terhenti adalah normal. Ia dipanggil ‘plateau’ penurunan berat badan mendatar yang berlaku kerana metabolisme anda menjadi perlahan setelah kehilangan otot.
Pada masa ini pengambilan kalori anda menyamai jumlah kalori yang anda gunakan. Jika seseorang itu itu masih berazam untuk menurunkan berat badan, cuba pilihan yang lebih selamat dan sihat iaitu kurangkan lebih kalori tetapi pastikan jumlah yang dimakan tidak kurang daripada 1,200 kcal.
Di samping itu, tingkatkan senaman dengan meningkatkan tempoh dan intensiti senaman selain menambahkan lebih aktiviti ke dalam rutin harian. Contohnya berjalan kaki dan kurang menggunakan kereta atau melakukan kerja-kerja rumah. Ini secara tidak langsung membuatkan kita sentiasa cergas.
0 comments:
Post a Comment